Wednesday, August 26, 2009

Sempena RAMADHAN~~

Hampir 2 jam menghadap laptop,mencari data yang sesuai untuk projek linear algebra, tiba-tiba saya teringat akan blog yang sudah saya tinggalkan lebih 3 hari. "Nak post apa ye?" dalam hati berfikir. Otak turut berputar. 30 minit berfikir sambil menggeledah laptop, akhirnya idea sampai. Solat Sunat Terawih. Macam menarik!

Biar saya mulakan dengan sabda Rasulullah S.A.W;
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, barangsiapa yang mendirikan sembahyang (tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Muslim)

~Tarawih adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat.

~Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat, maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah.

~Kalau sembahyang itu 20 rakaat, maka akan ada lima tarwihah, atau mengikut nahu Arab lima tarawih.

~Tidak ada hukum untuk berehat.

~Seseorang boleh sahaja terus sembahyang hingga habis, tanpa berhenti.

~Tujuan solat tarawih adalah untuk merehatkan badan daripada ketegangan selepas berbuka puasa, selain memberi ketenangan dan keikhlasan kepada orang yang bersembahyang.

~Solat tarawih ini jika dilakukan pada bulan selain bulan Ramadhan dipanggil solat malam – “solat lail”.

~Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara melakukannya ada kalanya berjamaah di masjid dan ada kalanya tidak.

~Solat tarawih dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam. Selepas membaca bacaan wajib iaitu Fatihah, sunat membaca sebarang ayat atau surah daripada Quran, tidak kira pendek atau panjang, atau berulang-ulang, asalkan bacaan itu betul dan solat ini dibuat dengan cermat.

~Segala bacaan di luar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat

~Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

~Lafaz niat;
أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّــة َ الــتـَّــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّــه تـَــعـَــالـَــى“Sengaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

~Perlu diingatkan ialah manusia perlu menjaga kesihatan, perlu tidur, perlu rehat seperti yang disabdakan oleh Nabi: “Adakah kamu yang memberitahu aku, kamu berpuasa pada siang hari dan solat sepanjang malam? Maka Abdullah bin Amru menjawab: Benar! Maka sabda Nabi: “Jangan buat begitu. Tetapi puasalah, bukalah, solatlah dan tidurlah. Badan kamu ada hak, dan mata kamu pun ada hak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

~Semua solat sunat bersendirian boleh dilakukan dengan cara duduk (solat fardhu tidak sah dilakukan sambil duduk sekiranya berkuasa berdiri)

Nampak, tak susah kan solat sunat tarawih ni, tinggal nak atau tak nak buat sahaja.
Jadi, lepas ni, marilah kita sama-sama menguatkan lagi hati untuk bersolat sunat tarawih ini. Biar pun seringkas mana, ganjarannya terlalu amat besar, lebih-lebih lagi, bulan Ramadhan ini adalah hadiah paling indah dan paling besar buat manusia daripada Yang Maha Esa...Hargai ia sebaik-baiknya.. INSYA-ALLAH... =)

Popular Posts